Amizar fokus sembilan perkara demi FELDA
Amizar fokus sembilan perkara demi FELDA
BENTONG – Bagi menjadikan warga peneroka tanah rancangan FELDA di Pahang berdaya saing dan mempunyai tahap sosio-ekonomi yang makmur, Datuk Amizar Abu Adam tampil dengan sembilan fokus utama dalam menjayakan agenda pembangunan FELDA.
Dia yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang berkata, semua usaha itu sudah dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan penuh daripada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Tumpuan paling utama adalah isu penempatan anak peneroka – generasi kedua atau ketiga – yang mana kerajaan Pahang sudah pun memperkenalkan Skim Tanah Rakyat FELDA (STRF) di beberapa tanah rancangan.
“Ini akan diperluaskan ke semua tanah rancangan di Pahang secara berfasa dalam usaha mengatasi permasalahan dihadapi warga peneroka,” katanya.
Selain itu, Amizar memaklumkan proses pemulihan semula projek perumahan generasi kedua FELDA yang terbengkalai juga sedang giat dilaksanakan.
Katanya, kontraktor yang bermasalah sudah dikenal pasti dan langkah berikutnya adalah melantik kontraktor yang lebih kompetitif serta berkemampuan melaksanakan projek itu.
“Dalam masa yang sama, saya menyeru lebih ramai warga peneroka, termasuk generasi kedua atau ketiga untuk mendaftar sebagai ahli Kami Anak FELDA (KAF).
“Ia adalah bagi memudahkan penyelarasan aktiviti dan penyebaran maklumat berkaitan peluang dan bantuan yang disediakan,” katanya yang berharap sasaran 100,000 ahli KAF dapat dicapai.
Amizar selaku ADUN Pelangai juga berhasrat agar pemerkasaan ekonomi warga peneroka dapat direalisasikan melalui penyertaan mereka dalam KAF.
“Saya juga berhasrat mewujudkan satu platform yang boleh mengumpulkan semua anak FELDA Pahang yang berada di perantauan… kita akan tubuhkan Anak Rantau FELDA Pahang tidak lama lagi.
“Tujuannya untuk mengesan dan mengumpulkan mereka supaya interaksi lebih berkesan mengenai pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan Pahang dapat diketahui oleh mereka,” jelasnya.
Dia juga akan memberi perhatian khusus kepada isu pembangunan dalam kawasan FELDA di Pahang yang perlu dirancakkan, seiring dengan kemajuan dan kemakmuran negeri Pahang. – SAHIH