SOKONG HASRAT IDRIS JUSOH
Berita Nasional
SOKONG HASRAT IDRIS JUSOH
JERANTUT: Perancangan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh mendapat sokongan Pengerusi JKKR wilayah Jengka, Sulaiman Bakar dan Pengerusi GPW Wilayah Jengka,Zariah Haron.
Beliau berkata, langkah itu dilihat dapat membantu melancarkan lagi proses penstrukturan semula pembangunan di kawasan tanah rancangan FELDA di seluruh negara.
“Sudah pasti Datuk Seri Idris mempunyai alasan kukuh apabila menyatakan hasrat untuk mengambil alih semula tanah milik FELDA yang dipajak kepada FGV Holdings sejak 2012.
“Kami percaya dan menyokong usaha yang sedang dilakukan beliau serta yakin ia adalah antara pilihan terbaik bagi meningkatkan kembali imej dan pendapatan warga peneroka yang agak tidak stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Dalam satu temubual bersama media tempatan pada 18 Oktober lepas, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan, FELDA berhasrat mengambil semula sejumlah 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial FELDA Jengka 24, Razak Daud berpendapat, cadangan Pengerusi FELDA boleh dilihat sebagai langkah segera untuk memulihkan prestasi kewangan FELDA yang agak kurang memberangsangkan.
“Apabila aliran tunai FELDA bermasalah, banyak perancangan untuk program meningkatkan pendapatan warga peneroka akan terjejas… ini perlu diatasi dengan kaedah yang bijak dan perbincangan bersama pihak FGV (Holdings) untuk memastikan situasi menang-menang semua pihak.
“Saya yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua pihak, demi kebajikan warga peneroka FELDA di seluruh negara,” katanya.
FGV Holdings dalam kenyataan media hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan perundingan dengan FELDA bagi mencari jalan penyelesaian.