FGV SEDIA RUNDING DENGAN FELDA
Berita Nasional
FGV SEDIA RUNDING DENGAN FELDA
KUALA LUMPUR: FGV Holdings menegaskan, tiada masalah untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) bersama FELDA.
Bagaimanapun, firma itu berkata, setakat ini FELDA belum berhubung untuk berunding mengenai perkara itu.
“Di bawah terma perjanjian itu, pembatalan LLA adalah dibenarkan. Jika FELDA menerbitkan notis tentang perkara ini, FGV akan meneruskan prosedur seperti termaktub di dalam LLA,” kata FGV dalam kenyataan pada Selasa.
FGV berkata, aset yang terlibat di dalam LLA adalah ladang dan tidak melibatkan kilang pemprosesan minyak sawit milik FGV.
“Justeru jika FELDA ingin membeli kilang pemprosesan minyak sawit FGV, ia perlu berasaskan kepada prinsip kesediaan dua pihak dan mengikut nilai pasaran semasa.
“Ia juga memerlukan persetujuan pemegang saham lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM),” kata FGV lagi.
Dalam satu temubual bersama media tempatan pada 18 Oktober lepas, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan, FELDA berhasrat mengambil semula sejumlah 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh
Idris menegaskan, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi FELDA bagi mewujudkan model perniagaan yang berdaya saing dan mampan.
Dalam temubual berkenaan, Idris turut menyatakan pendapatan operasi perladangan FELDA jatuh sejak FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.
Sehubungan itu, FGV dalam kenyataan sama menjelaskan, kelemahan kewangan itu adalah disebabkan penurunan harga minyak mentah sawit (CPO) selain proses tanaman semula ladang.
Sumber: ASTRO Awani