Kebakaran musnah rumah guru dapat perhatian UMNO Jerantut
Kebakaran musnah rumah guru dapat perhatian UMNO Jerantut
JERANTUT – Seorang guru tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Damak dekat sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu turut mengorbankan 15 daripada 18 kucing dan 10 ekor burung peliharaannya.
Mangsa, Faridah Majid, 46, berkata, ketika kejadian dia tinggal seorang diri kerana ibunya, Mekalthom Awang, 80, berada di rumah adiknya, manakala seorang rakannya yang tinggal bersama balik ke kampung sempena cuti Aidilfitri.
“Ketika itu, saya nampak asap hitam berkepul-kepul dan apabila pintu bilik dibuka, api sudah marak.
“Saya segera keluar mengalihkan pacuan empat roda dan meminta tolong,” katanya.
Faridah berkata, selain kehilangan haiwan peliharaan, duit simpanan dan barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000 juga hangus dalam kejadian itu.
“Buat masa ini, saya menumpang sementara di rumah anak saudara dan kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.
Kejadian menimpa Faridah mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah yang diwakili ahli jawatankuasa UMNO bahagian, Razak Daud.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank, 556208122812 atas nama Faridah Majid.— SAHIH