Moh lah weh dema balik belaka..!!, kempen anak perantauan pulang ke Felda Jengka 24 sambut Aidilfitri
Moh lah weh deme balik belaka..!!, kempen anak perantauan pulang ke Felda Jengka 24 sambut Aidilfitri
JERANTUT – Pengurusan Felda Jengka 24 bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) mengadakan kempen bagi mengajak kira-kira 1,000 anak perantauan pulang ke tanah rancangan itu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kempen itu turut melibatkan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
“Bagi anak-anak perantau yang sudah lama tidak pulang ke Jengka 24 kerana kesibukan kerja dan halangan Covid-19 sebelum ini, pulanglah beraya pada Aidilfitri kali ini.
“Ingatlah bahawa masa lalu (ketika berada di Felda Jengka 24) membawa pelbagai kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Setiap Aidilfitri, kenangan lama datang kembali. Begitu mengusik jiwa. Sesungguhnya, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Baliklah wahai perantau,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Razak turut mengingatkan, supaya anak perantau Jengka 24 berhati-hati semasa memandu pulang ke kampung.
“Hal ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Jaga juga anak-anak kecil, kesihatan dan jangan terdedah di bawah panas terlalu lama kerana dibimbangi terkena strok haba, demam dan lain-lain penyakit,” katanya.-SAHIH