Puteri rai 50 anak yatim, asnaf
Puteri rai 50 anak yatim, asnaf
TEMERLOH – Seramai 50 anak yatim dan asnaf dari Temerloh diraikan Puteri UMNO dalam program bantuan Aidilfitri, semalam.
Mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dibawa membeli pakaian raya di samping turut diberikan sedikit sumbangan duit raya.
Ketua Puteri UMNO Temerloh Nurul Asilina Saman berkata, sumbangan itu adalah dari Kerajaan Pahang melalui Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).
“Hari ini kita bawa mereka membeli baju raya dan mereka boleh pilih sendiri baju raya yang mereka nak.
“Kita juga memberikan ‘goodies’ yang di dalamnya ada biskut raya dan sedikit duit raya,” katanya.
Bagi seorang anak yatim, Siti Aishah Baharom, 20, peluang tersebut memberikan kelegaan buat dirinya untuk menghadapi raya tahun ini.
“Semalam (Selasa) saya baharu selesai menduduki kertas untuk peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) dan hari ini dapat membeli dan memilih pakaian raya.
“Syukur dan terima kasih kepada UMNO dan kerajaan negeri kerana saya antara yang terpilih kali ini,” katanya yang bergelar Anak Yatim sejak berusia enam tahun.
Sumbangan duit raya itu adalah daripada Ketua UMNO Temerloh, Datuk Riduan Hazimin manakala peruntukan untuk membeli baju raya pula adalah sumbangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang disalurkan melalui MTSP.-SAHIH