ALAM FLORA GALAK PENGGUNAAN SEMULA BEKAS MAKANAN
KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff
Corporation Berhad (“Malakoff”), menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang
dibawa sendiri ke bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah disamping
mengelakkan pembelian secara berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran dan
peningkatan jumlah sisa di tapak perlupusan.
Bagi membantu orang ramai menyahut seruan ini, Alam Flora telah mengagihkan sebanyak
1500 bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula dan diedarkan kepada orang
ramai di Pusat Kitar Semula Pandu Laju (DTRC) Aeon Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali berkata, ia merupakan
usaha kecil Alam Flora sebagai pencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang
lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar apabila kita kurangkan penggunaan beg plastik
secara total.
“Jika secara purata anda menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama
sebulan di dalam bulan Ramadan, dan jika anda menggantikannya dengan bekas makanan,
anda telah mengurangkan sebanyak 90 beg plastik dan pek polisterin daripada ianya
dibuang ke tapak pelupusan. Kalau didarabkan dengan beratus ribu orang… Bayangkan,”
tegas Adam.
Beliau berkata demikian selepas program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk 2024 di Wangsa
Maju, Kuala Lumpur. Hadir sama untuk mengagihkan 1500 bekas bubur lambuk dan 100
beg guna semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa,.
Sehubungan itu, Adam menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat ketika membeli
makanan dan tidak terlalu mengikut nafsu dan juga menyeru agar para peniaga jangan
melakukan pembaziran dengan menderma makanan yang tidak habis dijual kepada rumahrumah kebajikan atau golongan yang lebih memerlukannya.-SAHIH