Kedai Emas Anuar salur infaq Ramadan kepada individu kurang berkemampuan
Kedai Emas Anuar salur infaq Ramadan kepada individu kurang berkemampuan
SHAH ALAM: Kegembiraan terpancar pada wajah 150 individu kurang berkemampuan apabila menerima sumbangan infaq daripada
rangkaian Kedai Emas Anuar di Seksyen 7 di sini.
Kesemua penerima itu terdiri daripada golongan asnaf, mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.
Sumbangan menerusi program Infaq Ihya’ Ramadan itu meliputi barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.
Wakil syarikat Adila Gold Sdn. Bhd, Fakrulrazi Mohamed Dahan berkata, program Infaq Ihya’ Ramadan itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor.
“Objektif kami bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan sekali gus mengimarahkan lagi sambutan Ramadan tidak lama lagi.
“Adila Gold juga bakal menganjurkan pelbagai program termasuk majlis berbuka puasa dan pengagihan bubur lambuk secara percuma,” katanya ketika ditemui selepas program itu.
Terdahulu, semua penerima itu turut menyertai tazkirah yang disampaikan oleh penceramah dari PERKIM.
Menurut Fakrulrazi, Adila Gold menerusi sembilan cawangan di Lembah Klang menganjurkan program berkenaan sejak 2017.
“Sumbangan infaq ini sememangnya sudah menjadi rutin kami dalam membantu golongan kurang bernasib baik.
“Program seumpamanya turut dijalankan pada bulan-bulan lain dan akan berterusan di semua cawangan syarikat kami,” katanya.-SAHIH