Pekan Sehari Kuala Krau ditenggelami air jadi medan latihan penyelamat di air
Tapak Pekan Sehari Kuala Krau ditenggelami air jadi medan latihan penyelamat di air
TEMERLOH : Felcra Berhad Wilayah Pahang dan Pejabat Penghulu Jenderak Dua mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Dalam Air di Tapak Pekan Sehari, Kuala Krau yang tenggelami air, pada Khamis.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, latihan itu menjadi amat penting ketika berlaku banjir di kawasan yang dinaiki air.
“Banjir yang berlaku di Pahang bukan dianggap bencana tetapi wajar dihadapi oleh semua orang kerana faktor cuaca yang sering melanda negeri ini hampir setiap tahun.
“Oleh itu, persiapan sekurang-kurangnya kemahiran asas mengendalikan bot wajar diketahui oleh orang ramai khususnya yang terbabit dengan banjir,” katanya di Majlis perasmian itu di Pejabat Penghulu Mukim Jenderak Dua dan Felcra Berhad Pahang di Dewan PUSPA Rumpun Makmur, hari ini.
Turut hadir ADUN Jenderak, Datuk Rodzuan Zaaba, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Pengurus Besar Felcra Wilayah Pahang, Huzaifah Abd Nasir.
Katanya, penganjuran itu turut disertai oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dan Kuala Krau, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh dan Kuala Krau dan Pejabat Kesihatan Temerloh.
“Latihan bersama ini turut disertai Polis Daerah Temerloh, Pejabat Penghulu Daerah Temerloh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jenderak Dua.
“Oleh itu, persiapan sekurang-kurangnya tahu asas mengendalikan bot wajar diketahui oleh orang ramai khususnya yang terbabit dengan banjir.
Katanya, pada mulanya latihan itu hendak dijalankan di Sungai Pahang berdekatan Pekan Kuala Krau, memandangkan arus sungai Pahang deras dan faktor keselamatan peserta perlu diutamakan, latihan dipindahkan ke Tapak Pekan Sehari Kuala Krau.
Kira-kira 100 peserta mengikuti kursus pendedahan itu dan hampir 20 buah bot pelbagai jenis digunakan dalam latihan tersebut di Tapak Pekan Sehari Kuala Krau yang ditenggelami air kira-kira 3 meter.-SAHIH.