Calon BN PRK Kemaman kaya pengalaman
Calon BN PRK Kemaman kaya pengalaman
Calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding Pilihan Raya kecil (PRK) Kemaman, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah bekas seorang pegawai kanan tentera Malaysia, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) berpangkat jeneral.
Pengalaman luas dalam pentadbiran ketenteraan dapat membantu beliau sebagai Ahli Parlimen untuk berkhidmat dengan berkesan untuk membantu pengundi di kawasan Parlimen Kemaman.
Sebagai bekas Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia Tentera Darat, Ketua Staf Markas 3 Divisyen dan Assisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen melengkapkan pengalaman dan pengetahuan dalam perkhidmatan sebagai ahli parlimen.
Beliau menerima pendidikan awal rendah di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja (SKKR) di Kg Raja, Besut, dan di Sekolah Menengah Sultan Ismail, kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet di Kem Sebatang Karah, Port Dickson.
Selepas itu, beliau meneruskan latihannya sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (Second Lieutenant) pada 11 Mei 1976 di dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Beliau turut meneruskan pengajiannya semasa masih dalam perkhidmatan dan memperolehi Master in Defence Studies dari Universiti New South Wales (Australia) dan Master of Science in Defence dan Strategic Studies dari Universiti Quaid-i-Azam (Pakistan).
Semasa berkhidmat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi terlibat secara langsung dalam Insurgensi Kedua Tanah Melayu semasa zaman mudanya sebagai pegawai tentera.
Beliau memimpin unitnya sebagai Ketua Platun dan kemudian sebagai Ketua Kompeni yang menentang pemberontak komunis. Beliau meneruskan kerjaya tenteranya sebagai Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Beliau juga sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (18 RAMD), Pegawai Staf 1 Bahagian Keselamatan Negara, BKN,(sekarang Majlis Keselamatan Negara Malaysia), Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia Tentera Darat, Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Assisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen.
Beliau telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral pada 2 Jun 2008 dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat. Pada 31 Oktober 2009, beliau ditugaskan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Jeneral pada 15 Jun 2013 dan pada masa yang sama memegang jawatan Panglima Tentera Darat (PTD).
Antara anugerah kebesaran tentera, persekutuan dan negeri yang dikurniakan kepada Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi adalah PGAT PMN PSM PJN SSAP SPMT SPMP SPMS SPTS SPMK SPKK DPPN DCSM PSAT DGMK DSDK DSAP DMPN PAT JSM SMZ KAT KMN PNBB.
Beliau turut menerima anugerah luar negara seperti, Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) (20 Mac 2018) dari Singapura dan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Pangkat Pertama (D.P.K.T.) yang membawa gelaran Dato Paduka Seri (15 Julai 2017) dari Negara Brunei.