Veteran UMNO Jerantut dan Lipis buat aduan terhadap pemilik FB Promosi PN Maran
Foto atas : Ahli Veteran UMNO Jerantut yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Nordin Wahid ( empat dari kanan) telah hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk membuat laporan pada pukul jam 10 pagi, semalam.
Veteran UMNO Jerantut dan Lipis buat aduan terhadap pemilik FB Promosi PN Maran
JERANTUT : Ahli jawatan kuasa Veteran UMNO Jerantut mahu pihak polis melakukan siasatan terhadap pengendali akaun laman sosial Facebook Promosi PN Maran berhubung tohmahan menerusi laman sosial tersebut menuduh dan memfitnah nama baik Mneteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Ahli Veteran UMNO Jerantut yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Nordin Wahid telah hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk membuat laporan pada pukul jam 10 pagi, semalam.
Katanya, laporan tersebut dibuat berikutan hantaran menerusi laman sosial itu menghina Menteri Besar Pahang yang menyebut ‘Apakah MB Pahang ini keturunan Yahudi ke?”
“Hantaran menerusi Facebook Promosi PN Maran sengaja cuba menguar-uarkan isu itu di samping berniat memalukan Wan Rosdy selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Naib Presiden UMNO Malaysia.
“Saya dan rakan veteran UMNO Jerantut berasa kecewa dengan hantaran berkenaan lebih lagi memaparkan kata ‘Palestin hancur’ sedangkan Wan Rosdy sudah berkali-kali memohon maaf pada program himpunan tersebut.
Katanya, laman sosial itu bukan sahaja menjatuhkan maruah dan reputasi Menteri Besar Pahang malahan mencalarkan parti UMNO sendiri kerana ada pihak yang berani membuat hantaran tersebut.
Sementara itu, perkembangan yang sama, Pengerusi Veteran UMNO Lipis, Datuk Zulkifli Othman juga mengetuai ahli jawatan kuasa pertubuhan itu melakukan laporan polis yang sama di IPD Lipis, semalam.
Katanya, Veteran UMNO Lipis turut menyelar Pemilik Facebook tersebut menyiarkan petikan video pendek ucapan Wan Rosdy pada Himpunan Pahang 4Palestine pada 28 Oktober lalu di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
“Berikutan Datuk Seri Wan Rosdy tersasul dan tidak sengaja menyebut satu perkara dan dijadikan ungkapan kesilapan itu untuk tujuan memalukan MB Pahang.
“Oleh itu, saya dan rakan veteran UMNO Lipis kecewa dengan hantaran berkenaan lebih lagi memaparkan kata ‘Palestin hancur’ sedangkan Wan Rosdy sudah berkali-kali memohon maaf kesilpan itu pada program himpunan tersebut,” katanya.
Sebelum itu, seramai 40 orang ketua kampung dalam Parlimen Lipis dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Cameron Highlands turut membuat laporan polis supaya menyiasat terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook Promosi PN Maran mengenai hantaran fitnah yang memalukan secara terang cuba menjatuhkan maruah dan reputasi Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang, minggu lalu.-SAHIH.