Sanusi patut tumpu kebajikan rakyat Kedah
Sanusi patut tumpu kebajikan rakyat Kedah
BENTONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya menjaga negeri sendiri terlebih dahulu.
Ini kerana rakyat di Kedah yang terjejas banjir sejak awal minggu ini lebih memerlukan perhatian Muhammad Sanusi, berbanding sibuk berkempen di Pelangai.
“Janganlah sibuk di kawasan orang lain, jagalah rakyatnya sendiri dan saya mengharapkan agar isu-isu yang dibawa oleh beliau itu tidak terlekat di minda dan di hati pengundi-pengundi di Pelangai, ” kata Ahmad Zahid.
Beliau turut mendoakan seramai 1,452 mangsa banjir di Kedah dapat ditangani Muhammad Sanusi dengan lebih cekap.
“Saya harap rakyat di Pelangai ini bijak sebagaimana pengundi di Pulai dan Simpang Jeram yang membuat keputusan memilih wakil rakyat yang boleh membawa kesinambungan perkhidmatan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Karnival MYFUTURE JOBS di FELDA Chemomoi, dekat sini, hari ini.
Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi di Pelangai, Ahmad Zahid berkata strategi ditonjolkan BN untuk PRK kali ini berada pada tahap yang baik.
“Kami mempunyai keyakinan untuk mempertahankan kerusi Pelangai ini, tapi kita harus berusaha kerana kita tahu bahawa pihak seteru politik kita akan mencuba sedaya mungkin untuk menafikan sokongan rakyat di sini.
“Saya yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Pahang selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri dan saya telah melantik beliau sebagai Pengarah PRK di Pelangai ini.
“Saya yakin kemampuan beliau sebagaimana kejayaan kita peroleh di PRK Tioman, walaupun dalam keadaan serba kepayahan namun kita dapat mengambil Tioman,” tambahnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan para pengundi di kawasan Pelangai agar membuat pilihan yang bijak dengan mengundi Barisan Nasional pada 7 Oktober depan demi kesejahteraan penduduk itu sendiri.- SAHIH