Agenda pembangunan lebih mudah jika BN menang di Pelangai
Agenda pembangunan lebih mudah jika BN menang di Pelangai
BENTONG – Proses pembangunan di kawasan Pelangai lebih mudah dilaksanakan secara tersusun jika pengundi di situ memilih calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan adalah dari blok sama – Kerajaan Perpaduan.
“Dalam hal ini, pengundi perlu bijak memilih kerana pembangkang tidak mampu untuk meneruskan pembangunan.
“Mereka (pembangkang) berlainan kerajaan dan sudah pasti ia menyulitkan dari segi dana dan kos perbelanjaan.
“Jadi, pengundi perlu melihat perkara ini sebagai antara faktor penting jika ingin memastikan segala perancangan di Pelangai dapat diteruskan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menyantuni pengunjung dan peniaga pasar tani FELDA Chemomoi, hari ini.
Turut bersama beliau adalah calon BN untuk PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan semua jentera BN di Pelangai untuk terus bekerja keras bagi memastikan kerusi itu kekal milik UMNO-BN.
Katanya, kemenangan di Pelangai akan menjadi penanda aras penting dan hadiah kepada penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Johari meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.- SAHIH