Gelanggang PRK Pelangai dibuka
Gelanggang PRK Pelangai dibuka
BENTONG – Pegawai dan anggota polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengamal media mula berkumpul di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Pelangai sebelum proses penamaan calon bagi PRK Pelangai, membuka tirai.
Pusat penamaan calon dijadualkan dibuka jam 9 pagi dan semua calon mempunyai tempoh sejam – sehingga 10 pagi, untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.
SPR sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga jam 11.59 malam, 6 Oktober.
Barisan Nasional menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon bertanding di kerusi DUN itu manakala Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, bakal mewakili Perikatan Nasional.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang yang juga dikatakan ahli UMNO Kampung Sum Sum, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, pula dijangka turut bertanding pada PRK kali ini.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Pelangai, termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas dekat bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.- SAHIH