PRK Pelangai buka tirai esok
PRK Pelangai buka tirai esok
KUANTAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan bermula dengan proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, pagi esok.
Bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sebelum ini mengesahkan tujuh set borang pencalonan dijual setakat 18 September lalu.
Masing-masing tiga set dibeli wakil UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dan wakil sebuah pertubuhan.
Barisan Nasional (BN) dan PN masing-masing sudah mengumumkan calon berpengalaman, dengan kedua-duanya pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang juga anak jati FELDA Chemomoi dalam DUN Pelangai untuk mempertahankan kubu kuat parti itu.
Pada PRU15, Amizar mewakili BN bertanding di DUN Ketari dalam Parlimen Bentong, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Thomas Su Keong Siong.
PAS sekali lagi menurunkan Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat, 63, yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada PRU15, namun tewas kepada penyandang DUN itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Turut menyatakan hasrat mencuba nasib pada PRK itu ialah Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, yang menjadi individu terawal membeli borang pada 29 Ogos lalu, lapor Bernama.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.
Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.
PRK Pelangai yang pertama selepas PRU15 di Pahang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, susulan kematian Johari dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Seramai 16,456 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu.
Ini termasuklah 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.- SAHIH