Tiga maut bas ekspres terbabas langgar pokok
Tiga maut bas ekspres terbabas langgar pokok
LIPIS – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres terbabas di Kampung Kubang Rusa, dekat Merapoh, Lipis, awal pagi tadi.
Menurut laporan awal, bas ekspres dua tingkat dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke ibu negara terbabas dan melanggar pokok ketika keluar susur kampung berkenaan.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pusat gerakan operasi bomba Pahang menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 1.55 pagi.
“Sebanyak tiga jentera bersama 24 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa.
“Mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis yang dibantu pasukan dari (balai) Gua Musang, Kelantan serta anggota pasukan bomba sukarela Merapoh.
“Ketika kemalangan, terdapat 18 penumpang dan dua pemandu berada dalam bas ekspres terbabit,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Ismail memaklumkan tiga mangsa yang maut adalah dua penumpang dan seorang pemandu bas berkenaan.
Katanya, mereka yang maut adalah pemandu bas Ab Aziz Daud, 56 tahun dan dua penumpang, Mohd Syukri Mat Noor, 55 tahun dan seorang warga Bangladesh, Hossain Kamal berusia 41 tahun.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Lipis untuk tujuan bedah siasat manakala yang cedera pula dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan susulan,” katanya.- SAHIH