Tanah mendap sebab cerun runtuh
Tanah mendap sebab cerun runtuh
KUALA LUMPUR – Kejadian mendapan tanah mengakibatkan rekahan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dipercayai berpunca dari runtuhan cerun tambak di kawasan kerja tebatan banjir.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak terbabit melaksanakan kerja penyelenggaraan dengan segera.
“Saya juga telah menghubungi Ketua Pengarah LLM (Sazali Harun) dan mahu satu laporan penuh dikemuka dengan segera, selain pemantauan di sekitar kawasan mendapan bagi mengenal pasti kemungkinan risiko mendapan lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pelan kontigensi atau mitigasi dilaksanakan di laluan mendap, sentiasa dipantau bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Nanta turut menasihati pengguna lebuh raya itu supaya mengelak atau menangguhkan daripada menggunakan laluan itu buat sementara waktu.
Terdahulu, pemegang konsesi LPT1 ANIH Berhad mengesahkan kejadian tanah mendap di KM118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh menghala ke Kuala Lumpur.-SAHIH