BAS DIHEMPAP TANAH RUNTUH
Berita Global
BAS DIHEMPAP TANAH RUNTUH
PESHAWAR, PAKISTAN: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka dihempap tanah runtuh di kawasan pergunungan utara Pakistan pada Ahad.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Rawalpindi, dekat Islamabad, ke bandar Skardu, kata pegawai kanan kerajaan, Anas Iqbal dalam satu kenyataan.
“Tanah runtuh di Tungus Skardu menyebabkan 16 penumpang bas tertimbus di bawah runtuhan,” menurut kenyataan itu sambil menjelaskan kesemua mayat mangsa ditemui anggota penyelamat.
Bagaimanapun jurucakap kerajaan tempatan, Faizullah Faraq mengatakan jumlah kematian membabitkan 14 orang.
Pakistan, antara negara yang mencatatkan rekod terburuk kemalangan jalan raya dengan pelbagai pihak mendakwa keadaan jalan yang teruk, penyelenggaraan kenderaan yang tidak teratur dan pemanduan merbahaya menyumbang kepada kes kematian.
Kawasan pergunungan utara di negara itu mempunyai rekod kemalangan yang sangat mengerikan dengan jalan yang tidak berturap di sepanjang tebing, sekali gus sering menjadi lokasi kemalangan maut sejak bertahun lalu.
Sumber: AFP