CUBA CEDERA POLIS GUNA CANGKUL
Berita Jenayah
CUBA CEDERAKAN POLIS DENGAN CANGKUL
BALING: Seorang lelaki yang dipercayai berang kerana tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ditahan kerana disyaki cuba mencederakan anggota polis dengan cangkul di Kampung Padang Che Mas, Pulai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata terdahulu suspek berusia 43 tahun itu dikatakan merakam gambar anggota bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk kampung berkenaan, secara tanpa kebenaran.
Susulan itu, beliau berkata, anggota pergi ke rumah suspek kira-kira jam 10.40 pagi untuk bertanyakan tujuan tindakan lelaki berkenaan.
“Anggota meminta penjelasan suspek berhubung tindakannya merakam gambar berkenaan. Suspek dipercayai marah kerana tidak dibenarkan keluar melalui sekatan PKPB itu.
“Namun, suspek memarahi polis terbabit sebelum dikatakan menuju ke arah mereka dengan membawa cangkul dan cuba menghayun objek itu tetapi berjaya dihalang anggota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syed Basri berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku merakamkan gambar anggota bertugas di SJR untuk membuat bantahan kerana tidak berpuas hati selepas dilarang keluar dari kampung itu.
“OKT (orang kena tahan) itu tidak tergolong dalam kebenaran untuk keluar seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB,” katanya sambil memaklumkan berlaku pergelutan antara anggota dengan suspek ketika tangkapan dibuat.
Beliau berkata, polis turut merampas sebatang cangkul dalam kejadian itu.
“Bagaimanapun, hasil saringan air kencing suspek didapati negatif dan lelaki itu juga tidak ada rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Sesyen Baling, esok,” katanya.
Sumber: BH Online