Hantuk hidung isteri kerana tolak hubungan seks, mekanik mengaku tidak bersalah
Hantuk hidung isteri kerana tolak hubungan seks, mekanik mengaku tidak bersalah
Seorang mekanik tidak mengaku salah di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh atas pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan isterinya dengan menghantuk kepalanya ke hidung mangsa kerana menolak untuk melakukan hubungan seks, hari ini.
Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Rabiatul Adawiyah Abu Hassan, 33, dengan cara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 10 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan isterinya secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya di tempat, tarikh dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin membantah jaminan bagi tuduhan pertama, namun mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri balai polis berhampiran.
Peguam Ishak Mohd Kari memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sebelum ini bekerja di kedai perabot dan mendapat pekerjaan baharu sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji RM2,000 sebulan serta perlu menyara empat anak berusia dua hingga 10 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan. Pada 10 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sumber : Sengatdaily.com