PEMILIHAN AHMAD FAIZAL TEPAT PADA MASA
PEMILIHAN AHMAD FAIZAL TEPAT PADA MASA
KUANTAN: Keputusan pucuk pimpinan BERSATU melantik Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mengetuai BERSATU Pahang adalah bagi memperkukuhkan lagi parti itu di negeri ini.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, pemilihan Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak, dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk memudahkan proses penyusunan semula beberapa bahagian BERSATU negeri yang belum mengadakan persidangan mengikut jadual ditetapkan pucuk pimpinan.
“Pemilihan beliau (Ahmad Faizal) dibuat pimpinan BERSATU Pusat dan ini bukanlah bermakna kita (BERSATU Pahang) tidak mempunyai pemimpin yang layak memegang jawatan berkenaan.
“Saya percaya ia adalah untuk tempoh tertentu sahaja… sementara menunggu penyusunan semula beberapa Bahagian BERSATU yang tidak lagi bersidang tempoh hari.
“Sebagai antara pimpinan awal BERSATU Pahang dan bermula sebagai Setiausaha BERSATU negeri pada tahun 2016, saya percaya pucuk pimpinan mempunyai alasan untuk memilih Ahmad Faizal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Senarai mengenai pelantikan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU negeri mula dikeluarkan pada 9 September lalu menyaksikan Ahmad Faizal dilantik sebagai Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Perak dan Pahang.
Mohd Yazid turut menjelaskan bahawa proses penyusunan semula BERSATU Pahang sedang dilakukan dengan memperkenalkan beberapa muka baharu bagi mengetuai parti itu di peringkat Bahagian.
Katanya, sokongan daripada pimpinan negeri dan ahli akar umbi juga dilihat sangat baik, termasuklah pengumuman mengenai pelantikan Ahmad Faizal.
“Setakat ini, kita (BERSATU Pahang) tidak ada masalah dengan pemilihan Ahmad Faizal… saya juga sudah menemui pimpinan (BERSATU) negeri dan ahli, mereka juga menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal.
“Saya difahamkan, beliau (Ahmad Faizal) sudah menyatakan komitmen untuk datang ke Pahang dalam masa terdekat bagi mengadakan perjumpaan serta mesyuarat bersama pimpinan BERSATU negeri… saya fikir ia akan diadakan dalam bulan ini (September), cuma lokasinya belum dapat diputuskan lagi,” katanya.
#SAHIH
#YANGPASTISAHIH