PAIP Sedia 855 Tangki Statik Atasi Gangguan Bekalan Air Ketika Aidilfitri
PAIP Sedia 855 Tangki Statik Atasi Gangguan Bekalan Air Ketika Aidilfitri
KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan 855 tangki statik bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air ketika sambutan Aidilfitri tahun ini.
Tangki statik itu akan ditempatkan di beberapa lokasi yang sudah dikenalpasti sering berlaku masalah tekanan air rendah ketika musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata selain proses penempatan tangki statik pihaknya juga sedia menggerakkan 34 lori tangki air untuk mengagihkan bekalan air alternatif ke kawasan terjejas bekalan.
“Pejabat kami di setiap daerah sudah menyediakan pelan kontigensi sebagai langkah awal kemungkinan berlaku masalah gangguan bekalan air.
“Memang kita jangkakan perkara ini (gangguan bekalan air) berlaku kerana setiap kali musim perayaan, permintaan dan penggunaan akan meningkat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim anjuran PAIP di sini, petang semalam.
Saiful Zaini memaklumkan pihaknya akan mengaktifkan pelan kesiapsiagaan PAIP bermula 17 hingga 30 April ini.
Katanya, sepanjang tempoh itu, pasukan teknikal PAIP di semua peringkat akan bertugas dan dalam keadaan bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air.
“Bukanlah bermakna cuti mereka dibekukan, tapi memang ada ‘team’ yang bersedia untuk menjalankan tugas jika laporan (gangguan bekalan air) diterima,” katanya lagi.
Ditanya mengenai antara lokasi yang dijangka berdepan masalah tekanan air rendah, Saiful Zaini berkata, antara kawasan yang sering berlaku masalah seumpama itu adalah gugusan FELDA dan perkampungan tradisional.
“Gangguan ini berlaku kerana ramai orang balik kampung dan permintaan terhadap bekalan air meningkat berkali ganda.
“Ketika ini kadar penggunaan air pada masa yang sama (serentak) adalah tinggi, jadi mungkin akan berlaku masalah (gangguan) kerana permintaan melebihi dari hari biasa,” katanya.
tamat-SAHIH