Pemimpin kesatuan guru perlu kreatif dalam menyusun aktiviti
Pemimpin kesatuan guru perlu kreatif dalam menyusun aktiviti
Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyarankan kepimpinan kesatuan sewajarnya lebih kreatif menyusun sebarang aktiviti untuk dimanfaatkan oleh ahli kesatuan itu.
Presidennya, Jasni Mohd Kechik berkata, sebagai pemimpin ahli kesatuan yang berlatarkan profession perguruan, aspek kreatif tidak menjadi masalah kerana memang guru mempunyai banyak idea dalam melaksanakan pelbagai kaedah pengajaran di dalam kelas yang boleh diserapkan dalam berkesatuan.
“Pada masa ini, kepimpinan perlu kreatif untuk mendepani cabaran yang tinggi di samping mengadakan satu jaringan kesatuan dengan masyarakat dan secara tidak langsung turut mempromosikan KGMMB di mata masyarakat.
“Oleh itu, perlu kreatif dalam membawa kesatuan ke arah lebih baik dan dinamik serta tidak membawa kesulitan untuk membantu ahli kesatuan,” katanya kepada kira-kira 400 ahli KGMMB semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan KGMMB Cawangan Selangor, di Kelana Jaya, pada Sabtu.
Katanya, selain itu, kepimpinan sewajarnya memahami keperluan dalam membuat sebarang tuntutan kesatuan kepada pihak kerajaan, terutama kepimpinan muda perlu lebih menghayati pejuangan kesatuan.
“Saya tertarik KGMMB Cawangan Selangor melancarkan program ibadah korban untuk memberi ruang kepada mereka dan ahli lain yang berhasrat untuk menyertai ibadah korban dengan berkongsi bersama Masjid Sungai Tengi lebih awal.
“Idea sebegini memang bagus dan boleh membawa ahli KGMMB masuk ke dalam masyarakat setempat dan masyarakat turut mengetahui peranan kesatuan (KGMMB) bukan sahaja menuntut ‘naik gaji’ sahaja sebaliknya sebagai menjana pembangunan insan,” katanya. -SAHIH.