Mohiadin bantu orang susah dipilih sebagai Ikon Pesara 2019
Foto atas : Mohiadin menerima Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) daripada Tengku Mahkota Pahang.
Mohiadin bantu orang susah dipilih sebagai Ikon Pesara 2019
Mohiadin Bahado dilahirkan dalam keluarga yang susah, sanggup berkorban masa usia dan waktu untuk membela mereka yang ditimpa nasib malang, tidak pernah menjadi bebanan atau rungutan kepadanya.
Disebabkan kemiskinan keluarga menuntut beliau menapak dalam alam pekerjaan bermula pada 1975 sebagai buruh di ladang sawit, dua tahun selepas itu menjadi penebar roti canai di kampung kelahirannya Beranang, Selangor.
Setahun berikutnya diterima sebagai pelayan pejabat seterusnya memegang jawatan pembantu penerangan bermula 1986, selepas itu berpindah ke jawatan PKSP pada 1995 sebelum bersara enam tahun lalu sebagai Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Ampang.
Beliau yang berkhidmat dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Hospital Ampang, Selangor pada 2017 dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Pesara, Jabatan Perkhidmatan Awam (Kategori Sosial dan Pembangunan Komuniti) pada 2019.
Mohiadin yang kini berusia 64, berkata, hidupnya amat perit kerana ibu dan bapa beliau dalam kalangan asnaf miskin menyebabkan dia gigih berusaha untuk berjaya dalam pelajaran bermula peringkat tamat tingkatan tiga sekolah menengah seterusnya belajar secara persendirian sehingga akhirnya mampu memegang segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Sains Malaysia pada 1993.
“Sejarah pengajian itu dalam mencari perubahan kehidupan keluarga merupakan satu motivasi yang kuat terutama mempengaruhi anak-anak saya untuk tekun belajar serta menimba ilmu setinggi mana pun tanpa menoleh ke belakang.
“Saya sentiasa memberi galakan kepada lima anak saya untuk gigih berusaha dan jangan bimbang kepada kegagalan akhirnya menjadi kenyataan apabila tiga anak saya pemegang ijazah dari universiti tempatan, manakala dua lagi lulusan universiti luar negara,” katanya.
Mohiadin berkata, kegigihan beliau menuntut ilmu selama 19 tahun bagi mengukir kejayaan pada masa depan dengan bertungkus lumus belajar secara persendirian dan pendidikan jarak jauh (PJJ) bagi meraih segulung ijazah menjadi cerita motivasi dalam ceramah umum apabila dijemput pihak berkenaan.
Jelas beliau, selama 31 tahun bertugas di jabatan kerajaan sebagai Pembantu Penerangan di Jabatan Penerangan Pahang dan Selangor serta memegang jawatan PKSP mendedahkan dia kepada pelbagai masalah komuniti masyarakat yang memerlukan penyelesaian terbaik.
Menurutnya, ketika memikul tugas PKSP dengan dibantu beberapa rakan setugas terpaksa menyelesaikan masalah mencari waris atau penempatan warga emas yang discaj dari hospital untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila ada sesetengah mereka sudah uzur.
Ketika bertugas sebagai PKSP, Mohiadin turut mengenali serta berkawan rapat dengan sukarelawan yang menyumbang tenaga sukarela membantu pihak hospital dalam menyantuni pesakit membuka hati beliau untuk mengusahakan pusat jagaan khusus bagi menempatkan warga emas terdampar tiada waris atau disisihkan ahli keluarga.
Bagi Mohiadin bersesuaian dengan minat serta rasa bertanggungjawab melakukan kerja kebajikan di samping membuat amal jariah sebagaimana tuntutan agama supaya membantu insan lain dalam kesusahan mengerakkan hati beliau bagi mengasaskan pembukaan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Beranang, Selangor, 17 tahun lalu.
Bagi sukarelawan yang sebahagian besar mereka dalam kalangan kakitangan kerajaan dan swasta sudah bersara mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan membantu mencari dana termasuk untuk PJNH menampung kos operasi supaya usaha yang dilakukan Mohiadin itu tidak sia-sia.
Berikutan ramai warga emas terutama yang beragama Islam memerlukan pembelaan serta dirujuk pelbagai pihak khususnya dari hospital beliau terbabit secara langsung dalam pembukaan Pusat Jagaan Al-Fikrah (PJAF) di Kajang, Selangor pada 2013 serta Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) 2016 dan Pusat Jagaan Insan (PJI) setahun lalu, di Semenyih,
Mohiadin berkata, atas faktor kesihatan selepas bersara dia hanya menumpukan perhatian kepada PJNH apabila dilantik sebagai pengerusi dan penasihat di PJMM serta PJI dalam meneruskan kerja sukarela membantu warga emas yang memerlukan perhatian serta pembelaan.
Di atas semangat dan kejujuran beliau melaksanakan tugas untuk masyarakat Mohiadin menerima pelbagai anugerah ketika berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan termasuk Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP).
“Atas galakan keluarga dan rakan-rakan serta kasih sayang sesama insan dengan berpegang kepada falsafah hidup iaitu berusaha, berdoa dan bertawakal saya akan terus menyantuni warga emas yang diibaratkan sebagai ibu, bapa, kakak serta abang sendiri.
“Saya juga sudah kering air mata apabila mendengar pelbagai kisah sedih perjalanan hidup warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan daripada mereka tiada waris hidup sebatang kara, disisihkan oleh ahli keluarga termasuk anak sendiri selain ditinggalkan di tepi jalan dan sebagainya,” katanya.-SAHIH.