Bawa mangkok tingkat beli juadah di bazar Ramadan, elak penggunaan plastik berlebihan
Bawa mangkok tingkat beli juadah di bazar Ramadan, elak penggunaan plastik berlebihan
JERANTUT – Bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi dan pastinya bazar Ramadan menjadi salah satu tempat menjadi kunjungan umat Islam dan kaum lain untuk membeli juadah sepanjang bulan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Datuk Khairun Nissa Aris berkata, mengikut laporan pembuangan sisa makanan termasuk pembuangan beg dan bungkusan plastik yang digunakan dikhuatiri boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan.
“Pengunjung bazar Ramadan disaran membawa beg kitar semula, mangkok tingkat dan bekas makanan yang dibawa dari rumah ketika membeli juadah berbuka puasa untuk menghindari penggunaan beg plastik berlebihan sepanjang bulan Ramadan.
“Tiba masanya mewujudkan budaya baharu dengan membawa bekas yang dibawa dari rumah seperti mangkuk tingkat, bekas makanan serta beg kitar semula ketika membeli juadah di bazar Ramadan.” katanya di sini.
Katanya, jika dimulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana.
“Selain itu makanan yang disimpan dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang.
“Amalan ini penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dalam bungkusan plastik,” katanya.
Katanya, pengusaha makanan disarankan tidak menggunakan bekas bungkusan polisterin seperti yang diamalkan sekarang, sebaliknya menggunakan bekas makanan biodegradasi yang tidak mengandungi bahan pencemaran dan bekas seperti ini lebih mudah terurai dan lebih mesra alam.
“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuk menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik.
“Pemantauan akan dilakukan oleh petugas di semua bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan aspek kebersihan diutamakan dan sebanyak 115 tapak bazar Ramadan disediakan di bandar Jerantut,” katanya.-SAHIH.