Konsep Kesederhanaan UMNO Perlu Diteruskan
Konsep Kesederhanaan UMNO Perlu Diteruskan
JERANTUT – Penerapan konsep kesederhanaan boleh menjadi tunjang utama dalam memulihkan UMNO.
Melalui konsep ini juga dapat membina semula hubungan rapat antara ahli UMNO dan bukan ahli UMNO yang masih yakin dengan perjuangan parti.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, nilai murni dalam UMNO dan semangat kesetiaan kepada parti perlu dihidupkan semula.
“Kita sebagai ahli UMNO mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran masyarakat dan prinsip kesederhanaan inilah akan membantu kita dalam merangka gerak kerja di peringkat lapangan.
“Begitu juga dengan kesetiaan kepada perjuangan parti harus dipertahankan walaupun kita lihat segelintir ahli UMNO sanggup ‘melompat’ selepas kita kalah pada PRU14,” katanya.
Beliau yang juga bendahari UMNO Bahagian Jerantut berharap setiap perwakilan dapat membuat pilihan tepat dan memilih pemimpin yang layak mengetuai UMNO Jerantut.
Katanya, pertimbangan rasional dalam kalangan ahli sangat penting dalam melakukan pembaharuan dalam parti itu.
“Saya fikir semua perwakilan dan ahli UMNO (Jerantut) sudah faham apa yang sedang berlaku dalam parti ini selepas PRU15.
“Jadi inilah masa sesuai untuk kita bersama-sama membuat pertimbangan yang sebaik mungkin demi kebaikan UMNO dan daerah Jerantut,” katanya.-SAHIH.