Pemimpin Perlu Faham Aspirasi Belia dan Anak Muda
Pemimpin Perlu Faham Aspirasi Belia dan Anak Muda
JERANTUT – Setiap pemimpin tidak boleh lari daripada mendekati dan memahami kehendak golongan belia jika ingin terus mendapat kepercayaan.
Pembabitan Ahmad Murad Mat Hassim secara dekat dengan golongan ini sejak 2010 menjadi sandaran untuk beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Ahmad Murad pernah dipilih sebagai ahli majlis Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada sesi 2010-2013.
“Antara cara paling berkesan mendekati dan memahami mereka (golongan belia) adalah melalui sukan dan boleh dikatakan kebanyakan belia sangat meminati sukan bola sepak.
“Jadi, saya fikir dengan pengalaman yang ada dan pembabitan aktif saya dalam sukan nombor satu negara ini, ia boleh membantu saya memenangi hati golongan belia, terutamanya di Jerantut,” katanya.
Selain pernah menjadi ahli majlis PBNP, Ahmad Murad juga memegang jawatan naib presiden 2 Persatuan Bolasepak Daerah Jerantut – Jerantut FA (2017-2019).
Beliau juga terbabit secara aktif dalam program pembangunan bola sepak di daerah Jerantut sejak tahun 2010.
Kemuncak pembabitan Ahmad Murad adalah pada tahun 2019 apabila pasukan Jerantut FA mara ke pusingan suku akhir piala FA.
“Itu adalah kejayaan paling bermakna, kami berjaya membawa pasukan dianggap kerdil hingga dapat bersaing dengan pasukan mempunyai nama gah dalam sukan bola sepak Malaysia,” katanya.
Jerantut FA tewas di tangan Perak pada saingan suka akhir piala FA pada tahun 2019 dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak Jengka.
Beliau yang kini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif Jerantut FC berjaya membawa pasukan itu menjuarai Liga M5 pada tahun 2021.
Ahmad Murad juga percaya pendekatan melalui program sukan dan aktiviti bersesuaian yang lain sangat penting untuk mendapatkan semula sokongan belia kepada UMNO.-SAHIH
tamat