Agenda perubahan demi UMNO Jerantut
Agenda perubahan demi UMNO Jerantut
JERANTUT – Peluang dan ruang untuk menabur bakti menjadi pembakar semangat calon Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim.
Beliau yang sudah lebih 10 tahun menyertai UMNO Bahagian Jerantut berpandangan inilah masa terbaik untuk memulihkan semangat UMNO Bahagian Jerantut selepas episod duka pada PRU15.
“Sudah sampai masanya untuk kita bergerak dan memandang ke hadapan, UMNO Bahagian Jerantut harus merubah semula dan mendapatkan kembali keyakinan daripada rakyat.
“Kita tidak boleh terus berduka dengan apa yang sudah berlaku, benda yang lepas itu kita jadikan pengajaran dan pengalaman.
“Jadi, atas kesedaran dan rasa rendah diri, saya ingin menyumbang khidmat dan menawarkan diri sebagai calon Ketua Bahagian pada pemilihan kali ini,” katanya.
Ahmad Murad yang kini diberi tanggung jawab sebagai ketua penyelaras rangkaian 5G di Pantai Timur semenanjung, menganggap persaingan pada pemilihan UMNO untuk sesi 2023-2026 adalah sesuatu yang sihat.
“Kita ada empat calon untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut dan secara jelasnya ini bukti bahawa UMNO masih mendapat kepercayaan orang ramai.
“Ruang demokrasi dalam parti tidak pernah ditutup dan ramai yang mempunyai semangat untuk membantu UMNO kembali kepada perubahan dengan lebih bergaya selepas ini,” katanya lagi.
Beliau yang juga setiausaha Kelab Anak-anak Jerantut di Lembah Klang sejak 2016 berpandangan UMNO akan terus kekal relevan untuk menjadi wadah perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Kita mempunyai ramai pemimpin yang hebat dan menunggu diberi peluang untuk menyumbang sesuatu kepada parti.
“Jadi, saya nampak bahawa UMNO masih mendapat sokongan daripada rakyat dan inilah masanya untuk kita membalas keyakinan dan kepercayaan diberikan oleh rakyat,” katanya.-SAHIH