Kerajaan Pahang cakna, bina 54,628 unit perumahan rakyat
Foto atas : Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) di sini..
Kerajaan Pahang cakna, bina 54,628 unit perumahan untuk rakyat.
LIPIS : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang amat cakna mewujudkan pelbagai bentuk skim perumahan bagi memastikan rakyat di negeri ini mampu memiliki kediaman sendiri.
Katanya, memiliki kediaman sendiri merupakan keperluan asas yang sangat mustahak untuk semua sebagai tempat berlindung terutamanya dengan memiliki sebuah rumah kediaman yang selamat dan selesa.
“Kerajaan telah membina Rumah PR1MA Pahang, projek ini telah mula dilancarkan bermula pada tahun 2012 sehingga sekarang kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 215 projek.
“Projek rumah PR1MA Pahang dengan 54,628 unit rumah untuk dibina oleh pemaju di seluruh negeri di atas tanah kerajaan dan sebanyak 34 projek dengan 6,704 unit rumah telah siap dibina dengan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) telah diserahkan pemilikan kepada pembeli,’’ katanya.
Beliau berkata demikian di kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) di sini hari ini.
Katanya, di daerah Lipis sahaja, terdapat 9 fasa projek yang sedang dibina melibatkan 1,187 unit rumah dengan 294 unit telah siap dibina iaitu PR1MA Kuala Lanar.
“Projek ini dibangunkan oleh pemaju Syarikat Kejuruteraan Seberkas bagi Fasa 1 dan 2, bagi meneruskan pembangunan berikutnya, pemaju akan turut melancarkan projek Fasa 3 dan 4 sebanyak 228 unit lagi.
“Bilangan permohonan bagi projek PR1MA Pahang daerah Lipis ini amat memberangsangkan, sehingga permintaan projek PR1MA Kuala Lanar ini sahaja telah mencecah 905 permohonan,” katanya.
Katanya, Rumah PR1MA merupakan rumah berkembar setingkat dengan keluasan lantai 1,000 kaki persegi (20’ x 50’) dengan keluasan tanah 2,800 kaki persegi dan dijual pada harga RM150,000 dengan menyasarkan pemohon yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke bawah,” katanya.
Wan Rosdy menyarankan kepada pemaju Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di negeri ini untuk membina surau bagi kemudahan di setiap taman perumahan.
“Pembinaan surau dilihat sebagai tanggungjawab sosial pada masyarakat setempat walaupun ia tidak termasuk dalam pembangunan projek PR1MA berkenaan, kita faham harga rumah (PR1MA) sudah murah, jadi kita fikir pemaju mempunyai keuntungan yang sikit,” katanya. -SAHIH.