GIMNASIUM, PADANG BOLA SEPAK KOMERSIAL & FUTSAL BOLEH BEROPERASI
Berita Nasional
GIMNASIUM, PADANG BOLA SEPAK KOMERSIAL & FUTSAL BOLEH BEROPERASI
KUALA LUMPUR: Aktiviti gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibenarkan beroperasi, mulai Isnin ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan sebelum ini.
“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang ditetapkan sebelum ini.
“Aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal juga dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan latihan dan terhad kepada 10 peserta pada satu-satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, SOP lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam tempoh terdekat.