2 MAUT KERETA LANGGAR PAPAN TANDA
Berita Kemalangan
KERETA REMPUH PAPAN TANDA, DUA BERANAK MAUT
BATU PAHAT: Dua beranak maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer (KM) 78 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran susur masuk tol Ayer Hitam, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan berkata, kemalangan jam 12.08 tengah hari itu membabitkan kereta jenis Honda Civic yang terbabas sebelum merempuh papan tanda arah di kiri lebuh raya.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abd Razak Mohd Mahudin, 50, yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan anaknya, Mohd Amirudin Abd Razak, 19, yang berada di tempat duduk kanan belakang.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kenyataan itu menyebut, pemandu kereta yang juga anak mangsa, Mohd Hamizan Abd Razak, 27, dilaporkan cedera parah.
Seorang lagi anaknya, Nurul Nahirah Abd Razak, 21, dan wanita dipercayai isteri Abd Razak, Rahimah Yaman, 49, turut parah.
“Pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua mangsa wanita yang cedera manakala pemandu kenderaan dapat keluar dari kenderaan.
“Dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” kata kenyataan itu.
Tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam digerakkan ke tempat kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.23 tengah hari.
Sumber: BH Online