Remaja maut dihempap pokok tumbang
Remaja maut dihempap pokok tumbang
KUANTAN – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat dihempap pokok besar dalam kejadian angin kencang di Kampung Balok Baru, dekat Kuantan, lewat petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang terima maklumat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng memaklumkan terdapat kes pokok tumbang dan menghempap kanak-kanak perempuan, empat buah kenderaan awam serta kabel elektrik.
“Sebaik menerima laporan, seranai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Gebeng dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan,” katanya.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, didapati benar seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukam bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dikenali Aliya Zahra Mohammad Hasnizam berusia 14 tahun dan berasal dari FELDA Cerul Satu, Kemaman, Terengganu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut,’ katanya.