Pelajar UITM dikhuatiri lemas di Cherating
Foto atas : Anggota bomba bersiap sedia menjalkan operasi SAR.
Pelajar UITM dikhuatiri lemas di Cherating
KUANTAN : Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Dungun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Cherating, dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang, hari ini.
Mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab berusia 18 tahun telah pergi ke pantai itu bersama 19 orang rakannya untuk berkelah dan berehat.
Menurut rakannya, Izzuddin Hizrie Zaki (18) berkata, semasa mereka membuat permainan bulatan di dalam air, tiba – tiba ombak tinggi melanda kumpulan mereka.
“Kumpulan kami berpecah dan seolah-olah mangsa ditarik air dan dihanyutkan ke kawasan yang lebih dalam, kami menyelamatkan diri masing-masing,” katanya.
Katanya, ketika itu dia melihat mangsa dalam keadaan panik dan sekelip mata mangsa hilang dari pandangan.
“Kami kemudian dapatkan bantuan orang sekeliling dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa. Mangsa memakai singlet celoreng hijau dan seluar pendek hitam,” katanya.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Polis dari Balai Cherating telah ke lokasi kejadian untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalan oleh 8 anggota polis Balai Cherating dan 8 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng. Operasi SAR masih diteruskan.-SAHIH.