Sedih rumah hilang sekelip mata semasa banjir di Kampung La, Jerteh
Foto atas : Antara kelengkapan rumah seperti tilam terpaksa dibuang kerana rosak selepas digenangi air banjir dan lumpur.
Sedih rumah hilang sekelip mata semasa banjir di Kampung La, Jerteh
JERTEH – Penduduk di Kampung La, Jerteh, sedih selepas perkampungan mereka teruk di landa banjir apabila air melebihi paras tiga meter dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi 19 Disember 2022 lalu.
Penduduk terbabit yang kini tinggal sehelai sepinggang dengan menumpang rumah saudara mara selain menyewa homestay dibiayai anak dan dalam proses pascabanjir berharap ada pihak sudi membantu bagi membina semula rumah mereka di tapak asal berkenaan.
Terdapat penduduk kehilangan rumah selepas hanyut dibawa oleh arus deras air Sungai La dalam kejadian itu kini hanya mampu merintih kesedihan kerana segala harta benda terbina lebih 40 tahun lalu sekelip mata lenyap begitu sahaja.
Seorang penduduk yang ditemui, Raja Kamarudin Raja Mohamed, berkata dia dan keluarga bersyukur kerana terselamat dalam kejadian arus deras melanda kampung itu kerana lebih awal berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang 18 Disember 2022 itu.
Katanya, pada keesokan pagi dia segera pergi meninjau untuk melihat keadaan rumahnya dan terkejut apabila rumah dia sudah lenyap dan hanya tinggal runtuhan simen tangga di bahagian hadapan sahaja begitulah juga nasib rumah saudara mara yang berdekatan.
Menurut jiran beliau, Mek Mas Salleh pula, dia berasa amat sedih apabila melihat rumah pusakanya yang sering dikunjungi anak dan cucu pada musim cuti musnah dibawa arus deras dan hanya tinggal serpihan sahaja.
“Makcik amat berharap dalam proses pasca banjir ini ada pihak sudi membantu membina rumah baharu walaupun tidak sebesar rumah dahulu asalkan selamat untuk di diami dan boleh dikunjungi anak serta cucu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Embong Mamat, berkata berdasarkan cerita didengari daripada penduduk kampung, rumah dia dan beberapa rumah jiran rosak dan hanyut dibawa arus deras sungai yang datang bersama-sama batang pokok yang tumbang dan sampah sarap.
Jelasnya, dia sendiri pun tidak sempat menyelamatkan banyak barangan kerana sudah terlebih dahulu berpindah ke PPS apabila diarah oleh pihak berkenaan untuk mengelak perkara tidak diingini sebelum arus deras melanda pada awal pagi 19 Disember 2022 itu.
Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dari Semenyih, Selangor, bersama-sama sukarelawan pelbagai pertubuhan termasuk Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, telah menjalankan misi bantuan ke situ, baru-baru ini.
PKMM bersama sukarelawan terbabit adalah dalam misi bantuan banjir di kampung berkenaan untuk membantu membersih rumah penduduk disamping mengagihkan bungkusan barangan makanan kering keperluan asas kepada 30 keluarga yang sudah dikenal pasti oleh pihak berkenaan.
Pengerusi PKMM, Azman Rasman, berkata kehadiran mereka ke kampung berkenaan disamping untuk membantu membersihkan rumah juga sebagai menyempurnakan amanah penyumbang serta penginfak yang prihatin dengan nasib mangsa banjir
“Kami bukan setakat menghulurkan sumbangan wang tunai juga pelbagai barangan makanan kering keperluan asas seperti beras, gandum, gula, susu pekat, kicap, sos cili, tomato, bihun, telur masin dan sebagainya bagi meringankan bebanan mangsa banjir,” katanya.-SAHIH.