172 ahli keluarga Buang Ahmad dan Maimunah berkumpul selepas 3 tahun
172 ahli keluarga Buang Ahmad dan Maimunah berkumpul selepas 3 tahun
MELAKA – Tiga tahun tidak dapat bertemu generasi ketiga ahli keluarga serta waris Allahyarham Buang Ahmad dan Allahyarhamah Maimunah Abdul Hadi dapat mengumpulkan 172 ahli baru-baru ini.
Pertemuan itu turut dihadiri anak dan menantu 20 orang, cucu (59) serta cicit (93) berkumpul sehari di kediaman anak sulung waris berkenaan, Rosimah Buang di Kampung Tambak Bugis, Melaka.
Penyelaras program, Saadullah Mas’od, berkata program hari keluarga ini sudah lama dirancangkan tetapi terpaksa ditangguh berikutan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilancarkan kerajaan bagi membendung wabak itu.
Katanya, selepas pandemik, beliau bersama-sama beberapa ahli keluarga dapat berhubung dan mengadakan perbincangan untuk meneruskan program berkenaan selepas mereka yang berada luar Melaka dapat merentas sempadan.
“Ini memanfaatkan pertemuan dalam program berkenaan aktiviti yang dilaksanakan termasuklah mengadakan sesi “Taaruf” sesama keluarga selepas sekian lama tidak dapat bersua muka dan pada program itu masing-masing berpeluang bertanya khabar.
“Dirasakan tidak sempurna untuk mengeratkan silaturahim ini, adalah wajar diadakan acara sukaneka membabitkan semua ahli keluarga supaya dapat memberi kesan serta menjiwai erti kekeluargaan,” katanya.
Pengerusi program itu, Mahmud Buang, melahirkan rasa bersyukur akhirnya keluarga dan semua waris Allahyarham Buang dan Allahyarhamah Maimunah dapat berkumpul dan bertentang mata selepas sekian lama tidak dapat bermesra.
Katanya, dia berasa amat terharu apabila ahli keluarga serta waris luar dari Melaka seperti Perak, Johor, Selangor dan beberapa negeri lain dapat hadir untuk bersama-sama bagi mengenal pasti keturunan supaya tidak terputus silaturahim.
“Hanya air mata mengiringi pertemuan itu apabila dapat bertemu dan bermesra dengan anak saudara, cucu serta cicit terutama yang tinggal jauh dari Melaka kerana walaupun zaman penuh teknologi terkini dalam perhubungan namun pertemuan sebegini lebih bermakna serta memberi kesan.
“Saya sayang mereka semua seperti arwah bapa dan emak yang sentiasa memberi ingatan untuk kami adik-beradik supaya tidak putus hubungan silaturahim serta sering berhubungan untuk memastikan mereka semua ambil sikap peduli,” katanya.-SAHIH.