Penggunaan Jentera berat Operasi menyelamat mangsa
Penggunaan Jentera berat Operasi menyelamat mangsa
BATANG KALI , 17 Disember 2022 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh Batang kali diteruskan dengan memberi tumpuan penggunaan Jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan juga pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Datuk Nor Azam Khamis, tumpuan SAR hari ini bertumpu kepada dua daripada tiga sektor kawasan pencarian iaitu sektor B (kem farmview) dan sektor C (berhampiran kem riverside).
Jelasnya keputusan itu dibuat berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam dan kerja pengendalian akan dibantu empat jengkaut bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah hari ini.
Semalam tumpuan operasi diberikan kepada tiga sektor A (Kem Hillview), B dan C.
“Cabaran utama semalam dan hari ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan terdapat aliran air dalam tanah serta kedudukan cerun 45 darjah selain ketebalan runtuhan tanah yang mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki. Tiada pergerakan tanah dilaporkan namun masih terdapat aliran air dengan keadaan tanah yang lembut dikhuatiri menyebabkan pergerakan dan gelinciran tanah.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pusat operasi pasukan penyelamat, di Jalan Genting Batang Kali.
Sementara itu, beberapa agensi telah digerakkan pagi ini dilokasi insiden tanah runtuh ini iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia.
Dianggarkan seramai lebih kurang 150 anggota ditempatkan dan berada di lokasi untuk mencari baki mangsa tertimbus akibat runtuhan tanah.
Insiden berlaku sekitar 2.42 pagi semalam di yang melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.
Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.-SAHIH