Sekeluarga terselamat rumah dihempap tanah gelungsur di Raub
Sekeluarga terselamat rumah dihempap tanah gelungsur di Raub
Foto atas : Rumah ibu tunggal yang dihempap tanah gelungsur.
RAUB : Sebuah rumah dihempap tanah menggelungsur dari lereng sebuah bukit berdekatan rumah tersebut berikutan hujan lebat dan banjir di Kampung Pamah Rawas dekat sini, pada jam 2 pagi semalam.
Rumah tersebut didiami oleh seorang ibu tunggal bersama lima ahli keluarganya sempat dikejutkan dari tidur dan keluar menyelamatkan diri dari rumah tersebut.
Mangsa, Azizah Muda (70) berkata, kami sekeluarga nyaris terancam nyawa apabila rumahnya dihempap tanah yang menggelungsur dan rumah hampir runtuh sepenuhnya.
“Sejak hujan lebat yang turun kebelakangan ini, selalunya cuma air dari kawasan bukit mengalir turun memenuhi kawasan rumah.
“tetapi pagi semalam, saya terkejut dari tidur apabila terdengar bunyi hentakan yang kuat dan mendapati timbunan tanah menghempap di bahagian dinding rumah pada jam 2.00 pagi,” katanya.
Katanya, ketika itu dia berasa rumahnya turut menggelungsur perlahan-lahan ke bawah serta hampir roboh dan terus mengejutkan ahli keluarganya supaya segera keluar kerana bimbang dengan keselamatan nyawa.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat membantu membaikpulih atau membina rumah baharu . Sekiranya masih tinggal di kawasan ini kemungkinan bencana yang sama akan berulang dan paling membimbangkan ancaman terhadap keselamatan nyawa ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal yang melawat tempat kejadian hari ini turut memberikan jaminan akan membantu kebajikan warga emas ini.