Maran yang baru agenda utama Shahaniza
Maran yang baru agenda utama Shahaniza
Jika ditanya apa yang calon Barisan Nasional (BN) Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mahu, sudah tentu jawapannya ialah pembangunan yang boleh dibanggakan.
Beliau mahu melihat Maran yang lebih maju, berdaya saing dan memiliki kemudahan seperti daerah lain.
“Secara asasnya saya mahukan Maran yang lebih maju, mempunyai infrastruktur lebih baik dan kemudahan setanding dengan tempat lain.
“Di sebalik kemajuan dan pembangunan ini, semuanya tidak bermakna tanpa peluang pekerjaan untuk ditawarkan kepada anak tempatan.
“Jadinya, pembangunan dan perkembangan ekonomi perlu seiring supaya semua dapat menikmati limpahan peluang yang ada,” katanya.
Shahaniza menjelaskan pengukuhan jenama Maran itu sendiri sangat penting supaya semua warga daerah ini dapat menumpang bangga apabila nama Maran disebut.
“Ini bukanlah impian saya seorang, tapi impian semua penduduk di Maran tanpa mengira penyokong parti mana.
“Oleh itu saya mengajak semua pihak, tak kira penyokong PAS, MCA, MIC, AMANAH, PKR, DAP, Bersatu dan UMNO sendiri, untuk ketepikan perbezaan dan bersama bersatu hati memberi kepercayaan kepada saya.
“Sudah tentu saya akan berusaha membawa perubahan ke daerah Maran yang kita sayangi ini,” katanya lagi.-SAHIH