4 kumpulan penentu undi
4 kumpulan penentu undi
Proses pengundian bermula pagi esok memberi peluang kepada golongan muda menentukan pilihan mereka.
Menyedari kepentingan golongan ini, calon Barisan Nasional (BN) Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin meluangkan masa bersama mereka petang semalam.
Antara yang sempat disantuni beliau ialah ratusan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang diberikan cuti khas untuk mengundi.
“Kumpulan (mahasiswa) ini tiba di Pekan Tajau dan saya berkesempatan menyambut mereka.
“Mereka ini pelajar dari IPT di seluruh negara dan balik untuk menjalankan amanah (mengundi) calon bertanding di Maran.
“Saya harap mereka membuat pilihan yang tepat,” katanya.
Beliau kemudiannya ke Dewan Komuniti Maran untuk meluangkan masa bersama peserta kejohanan Esport-PUBG.
“Peserta kejohanan ini berusia 17 tahun ke atas dan mereka menyambut baik (penganjuran) kali pertama dan harap dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya akan pastikan ia boleh dilaksanakan jika dipilih sebagai ahli parlimen Maran selepas ini,” katanya lagi.
Selain itu, Shahaniza juga sempat bertemu peserta konvoi bermotosikal peringkat dewan undangan negeri (DUN) Luit yang berkumpul di Dewan Arena Maran.
Akhir sekali pada sebelah malam pula, beliau berkesempatan bersama lebih 150 pengundi kali pertama dalam program ‘Moh Shell-out’ di Luit, dekat, Maran.
Antara yang menyertai program santai itu adalah komuniti Orang Asli, mahasiswa dan tidak ketinggalan, belia dalam kawasan DUN Luit.
“Dalam semua perjumpaan itu, mereka (suarakan) tanya mengenai perancangan dan mahu pembangunan dibawa ke Maran.
“Saya cuba jadikan kenyataan impian mereka dan itu antara misi utama saya jika menang,” katanya.-SAHIH