Kesatuan setuju Menteri Pendidikan jumpa guru selesai kemelut
Kesatuan setuju Menteri Pendidikan jumpa guru selesai kemelut
JERANTUT – Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mengalu-alukan cadangan Menteri Kanan Pendidikan untuk bertemu seorang guru, Mohd. Fadli Salleh dalam masa terdekat.
Presiden KKGLMSM, Mustafa Kamal Husin berkata, pertemuan dengan guru tersebut adalah cara terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi guru itu didakwa berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat.
Katanya, pertemuan itu dituntut untuk mengetahui berkaitan sistem pendidikan yang mungkin terlepas pandang oleh Menteri atau pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“ Jadi tidak seharusnya cikgu tersebut diambil tindakan sebegini, tidak keterlaluan boleh dikatakan tindakan diambil tidak bertamadun dan boleh menimbulkan kemarahan warga pendidik keseluruhannya.
“Cikgu tersebut meluahkan pandangan sesuatu bertujuan berkaitan membaiki atau meningkatkan sistem pendidikan sedia ada kea rah lebih bagus,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga Naib Presiden, Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres) berkata, KPM mengambil tindakan tatatertib sebegitu seolah-olah guru tersebut melakukan kesalahan begitu besar, walhal pendapat dan saranan cikgu tersebut perlu dilihat dari sudut yang lebih positif.
“Seperkara lagi, KPM perlu turun ke sekolah menyiasat dakwaan guru tersebut khususnya berkaitan silibus kayangan yang dibangkitkan guru itu.
“Di sekolah tertentu (mungkin di bandar) mungkin silibus itu sesuai tetapi adakah silibus kayangan sesuai di sekolah luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Sementara itu, Presiden kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, sewajarnya isu ini mungkin boleh diselesaikan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terlebih dahulu.
“Mungkin perkara ini sudah sedia maklum oleh pihak PPD dan JPN termasuk di bahagian terbabit di KPM.
“Oleh itu, keperluan yang lebih jitu wajar diberi perhatian agar tiada pihak menjadi mangsa keadaan dan juga memberi ruang yang secukupnya,” katanya.
Katanya, oleh itu situasi menang-menang perlu ada di semua pihak, lebih menarik Menteri Pendidikan berhasrat bertemu untuk mengetahui lebih lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan guru tersebut.
Jasni menambah, beliau tertarik dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang ingin tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd. Fadli Salleh dan mempelawa cikgu tersebut berkelapangan, boleh bertemu Menteri, “ katanya.-SAHIH.