Muslimah Masjid Batu 3 Semenyih santuni warga emas
Muslimah Masjid Batu 3 Semenyih santuni warga emas
Foto atas : Ustaz Alias (kiri) dan Ustaz Shafie memberi penerangan ringkas sebelum memulakan perarakan Sambutan Maulidur Rasul.
SEMENYIH – Mengambil ikhtibar keperibadian mulia Rasulullah S.A.W itu, Kumpulan Muslimah Masjid Batu 3, Semenyih, bersama-sama 10 ahli mengadakan Program Kunjungan Mesra ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M, baru-baru ini.
Pengerusinya, Nur Asyikin Jantan, berkata program kunjungan itu bagi menjalin hubungan ukhuwah antara masjid dengan pusat berkenaan di samping menyampaikan dana serta sumbangan makanan kering dan barangan kegunaan harian kepada PJMM yang selama ini bergantung kepada infak daripada orang ramai serta pelbagai pihak untuk terus operasi.
Menurutnya, sebagai jiran yang paling dekat, sebagai sedekah kumpulan itu akan terus membantu PJMM termasuk menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai bantuan diperlukan mereka.
Katanya, Walaupun kecil sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan PJMM dalam mengurus selia warga emas di pusat tersebut.
Jelasnya, dalam taklimat ringkas yang disampaikan Pengerusi PJMM, Azman Rasman, memberi kefahaman kepada ahli kumpulan itu mengenai tujuan kewujudan pusat jagaan berkenaan dan bukan satu perkara yang mudah untuk menjaga warga emas yang menghidap pelbagai penyakit serta uzur kerana sentiasa memerlukan perhatian rapi.
“Kami juga kagum dengan mereka yang terbabit dalam pengurusan PJMM kerana sentiasa gigih berusaha mencari dana atau sumbangan pelbagai barangan untuk kegunaan harian, kesihatan serta sumber makanan untuk menyantuni warga emas setiap hari supaya mereka sihat sejahtera bagi menjalani rutin kehidupan di pusat ini,” katanya.
Sementara itu, pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat pusat jagaan berkenaan, kira-kira 100 peserta termasuk sukarelawan dan warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor turut mengambil bahagian dengan berarak sejauh 100 meter dari jalan utama Kampung Sungai Purun, Semenyih menuju ke PJMM, baru-baru ini.
Jelas Azman, walaupun tidak sejauh mana berarak tetapi bagi memenuhi hasrat warga emas pusat itu dan PJNH yang mahukan satu perarakan dibuat sambil berselawat dilakukan kerana mereka sudah lama merindui kemeriahan menyambut Maulidur Rasul dengan cara itu sebelum menghuni pusat jagaan berkenaan.
“Dengan dibantu sukarelawan, warga emas yang berkerusi akan disorong manakala yang bertongkat disantuni dengan baik supaya tidak terjatuh dan sebagainya yang melahirkan suasana gembira dalam kalangan mereka apabila dapat menyelesaikan perarakan dengan selamat.
“Selepas perarakan yang diketuai Ustaz Alias dan Ustaz Shafie, warga emas ini kemudahannya mendengar ceramah bertajuk Kasih Rasulullah yang disampaikan oleh penceramah bebas Ustaz Mohammad Shyazreel Adry Mohd Roni dan diikuti jamuan nasi minyak yang ditaja sukarelawan suami isteri, Nasir dan Norizan,” katanya. -SAHIH.