Parlimen Lipis dan 3 DUN kubu kuat BN
Parlimen Lipis dan 3 DUN kubu kuat BN
LIPIS – Parlimen Lipis (P079) dan Dewan Undangan Negerinya (DUN), Padang Tengku (N03), Cheka (N04) dan Benta (N05) dianggap kubu kuat bagi Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga dibubarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober, Parlimen Lipis dan 3 DUNnya mengekalkan rentak yang konsisten dalam menangani kebajikan dan sentiasa cakna dengan kawasan masing-masing.
Keyakinan tersebut disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian, Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dengan melihat persediaan dan simulasi yang telah diadakan sebelum ini menunjukkan kecenderungan pengundi memilih Barisan Nasional bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lipis.
“Selain itu, kecenderungan ini berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan serta kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat di sini.
“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tinggi. Ini sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan parlimen dan DUN di bawah Lipis,” beliau berkata demikian menerusi ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis yang dihadiri 500 perwakilan di mesyuarat yang diadakan di Wisma Umno di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi, Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Mustapa Long, Ketua Pemuda Bahagian, Saudara Farid Mohd Nor serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Lipis.
Beberapa orang aktivis politik Parlimen Lipis yang ditemui sepakat berkata, amat mustahil untuk menggantikan Abdul Rahman dengan calon baharu untuk kerusi Parlimen Lipis (P079) kerana menunjukkan prestasi yang terbaik sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
Seorang aktivis yang enggan nama disiarkan berkata, penyandang Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed sentiasa memainkan peranannya sebagai wakil rakyat dengan baik dan peka setiap isu yang timbul dan ditangani dengan baik.
“Penyandang ini (Abdul Rahman) masih releven dan dianggap calon boleh menang kerana disenangi oleh pengundi di parlimen ini.
“Malah, tiada isu di kalangan penyokongnya dan terus memberi mandat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,”katanya.
Seorang aktivis di Kampung Kerambit berkata, beliau sebagai Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menunjukkan peranannya yang sangat baik dan berkesan.
“Sering membantu anak-anak B40 melalui bantuan Mara, Risda, Felcra, Felda dan apa jua bantuan yang sangat diperlukan oleh golongan ini.
“Bantuan pembangunan insan seperti bantuan awal pendidikan samada persekolahan atau ke pengajian tinggi,” katanya.
Katanya, beliau juga sering mengikuti perkembangan politik setempat dan pembangkang gagal mencari isu di kalangan penyokong di kawasan ini.
Abdul Rahman yang memenangi PRUI ke-14 dengan mendapat undi sebanyak 13,995 dan menang dengan majoriti 6,569, manakala lawannya Datuk Badarudin Abd Rahman (PKR) yang mendapat undi 7,426 dan Sobirin Duli (PAS) menerima undi 6,671.
Mengikut rekod ini, Abdul Rahman tidak menghadapi masalah berdepan calon lain buat penggal ketiga.
Manakala, penyokong BN di Kawasan Padang Tengku mahu penyandang DUN Padang Tengku (N03), Datuk Mustapa Long dikekalkan kerana tidak terkecuali kerana sering mengambil tahu akan kebajikan kawasan pengundinya.
“Mustapha sering menziarahi melalui program ziarah cakna penduduk di kawasannya yang ditimpa musibah.
“PRU-14, Mustapa mendapat 5,691 undi dengan menewaskan calon PKR, Alias Abd Rahman dengan undi 1,303 dan hilang wang deposit, menakala Roslan Harun (PAS) hanya mendapat 4,447 undi,” katanya.
Manakala, penyandang Cheka (N04), Lee Ah Wong bekas seorang guru dan PRU-14 adalah penggal pertama beliau mendapat undi 3,475, lawannya, Rasid Muhamad (PAS) mendapat undi 2,930 dan Saludin Endol (PAS) mendapat 3,273 undi.
Penyandang DUN Benta (N05), Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak pula menang tipis dengan 3,261 menewaskan Sabaruddin Mohd Yasim (PKR) – 2,921 undi dan Anuar Kassim, (PAS) dengan undi 739 undi dan hilang wang deposit.
Seorang lagi penyokong BN berkata, kalau dilihat majoriti tipis di N04 dan N05 tidak menghairankan kerana ketika kempen PRU-14, keadaan masa itu sangat sengit dengan parti lain memainkan isu yang boleh mencetuskan kegelisahan pengundi setempat.
“Tapi PRU-15 yang bakal diadakan, situasi tidak sama dengan peranan yang dimainkan semua wakil rakyat dengan prestasi yang baik di kawasan masing-masing di dalam parlimen Lipis tidak ada isu besar untuk calon dari parti lain untuk mencari kelemahan.
“Kalau ada muka baharu BN pastikan calon itu boleh menang bagi memastikan dalam Parlimen Lipis menang dengan 4-0, iaitu 1 parlimen 3 DUN,” katanya.-SAHIH.