Bahan kayu lama Sk Pulau Indah dimanfaatkan
Foto atas : Pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu dengan dilengkapi ukiran kayu pada tepi bumbung menjadi tempat berteduh murid.
Bahan kayu lama Sk Pulau Indah dimanfaatkan
Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Kelang, Selangor mengambil inisiatif yang jarang dilakukan sekolah lain apabila memperkenalkan pelbagai ukiran kayu pada setiap sudut bangunannya.
Guru besar SKPI, Hazi Kadir, berkata idea mencantikkan bangunan sekolah itu dengan ukiran kayu tercetus tiga tahun lalu apabila beliau mendapati bahan kayu lama dari bangunan dalam proses pertukaran bumbung boleh digunakan semula untuk membuat ukiran kayu.
Jelasnya, kayu yang terbuang itu adalah kayu keras daripada jenis merbau, resak meranti emas dan balau yang amat menarik dibuat ukiran kayu kerana masih elok serta tahan lama daripada bangunan sekolah berkenaan yang dibina pada tahun 1973 menggunakan kayu dari hutan dara.
“Pihak sekolah memanfaatkan pengalaman tukang kayu mahir iaitu seorang bapa murid bernama Kamaruddin yang pernah terbabit membuat istana kayu di Pahang dan Perak, usaha membuat ukiran kayu diteruskan di lima blok bangunan sekolah itu.
“Bagi menambah keyakinan, saya melihat sendiri kerja tukang kayu yang dibuat oleh Kamaruddin ini di rumahnya dan mendapati beliau memang seorang berkemahiran apabila menggunakan kayu lama yang dirawat semula bagi menghasilkan ukiran menarik,” katanya.
Katanya, atas kesepakatan serta kerjasama saya dengan dibantu Kamaruddin, mengambil kayu yang terbuang ini untuk dirawat semula dengan mengosok menggunakan mesin dan vernis kayu sebelum memulakan kerja ukiran serta binaan.
“Dari situ antara kerja kayu dan ukiran yang dibuat ialah membabitkan pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu, sebuah dewan dengan siapan kayu, ruang pejabat menggunakan kayu terpakai dengan hiasan kerawang kayu dan papan lapis.
“Bilik rehat guru menggunakan kayu juga sebagai hiasan kemasan dinding dan syiling, bilik Penolong Kanan Kokurikulum dihiasi kerawang kayu dan pintu dibuatkan bingkai kayu yang unik serta menarik,” katanya.
Begitu juga dengan bekas letak bunga juga menggunakan hiasan kayu, tempat meletak kereta dibuat papan manis yang diukir dan pada dua dataran berbumbung penuh ukiran sepanjang 100 meter, gerbang kayu dibina di kaki lima pintu masuk ke pejabat, pagar kayu juga dibuat sebagai penghalang kolam ikan.
Beliau berkata, bingkai tingkap sekolah itu juga dibalut dengan kayu keras di samping kayu bakau dan kayu pokok mangis hutan juga dijadikan hiasan di sudut bilik yang menjadikan SKPI sering disebut sekolah terhebat di daerah berkenaan.
“Setakat ini lebih 300 sekolah seluruh negara melawat SKPI untuk mengambil gambar dan sebagainya serta membuat ramai terpegun apabila berasa kagum akan keunikan ukiran kayu itu kerana tidak terdapat di sekolah-sekolah lain.
“Antara jenis ukiran kayu yang dibuat seperti tembuk tembus, bunga tetek, pasak, tanggam kekuda, tetupai yang kini tiada lagi dibuat selain kerawang ciri binaan negeri Perak,” katanya.
Hazi berkata, objektif pihak sekolah membuat ukiran kayu itu adalah untuk membudayakan semula seni kayu di samping dapat diperkenalkan kepada murid supaya mereka tahu asal usul bangsa dan budaya.
“Usaha saya ini juga satu kelainan dalam pendidikan apabila murid didedahkan dengan seni ukiran kayu pada peringkat awal lagi, melastarikan sistem kesenian dan budaya serta menghargai tukang kayu yang kini semakin pupus,” katanya. -SAHIH.