Wadai kipeng erat hubungan guru, ibubapa dan murid
Wadai kipeng erat hubungan guru, ibubapa dan murid
TANJUNG KARANG – Wadai kipeng menjadi wadah penyatuan Keluarga Malaysia Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan antara guru, ibu bapa dan murid, baru-baru ini.
Cetusan idea itu diambil berdasarkan hala tuju SKeSS iaitu Setia, Akademik, Kemenjadian, Ukhuwah (SAKU) untuk mengukuhkan rasa setia dan cinta warga sekolah berkenaan kepada tempat bekerja bagi guru-guru dan Anggota Kumpulan.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman, berkata hala tuju itu akan lebih sempurna jika ibu bapa turut menjadi sebahagian anggota sokongan dalam pelbagai program pembelajaran di sekolah itu khusus untuk memastikan anak-anak mereka menjadi murid cemerlang dan berjaya dalam pelajaran.
Jelasnya, hasil perbincangan dengan guru akhirnya kami mendapat idea untuk menukarkan kelaziman apabila sebelum itu sering memasak bubur lambuk kini membuat kuih wadai kipeng iaitu makanan tradisional paling popular dalam kalangan penduduk Banjar yang kebetulan ramai menetap di Kampung Sungai Sireh.
“Kami menjadikan kuih wadai kipeng ini simbolik aspirasi Keluarga Malaysia dalam membina hubungan ukhuwah yang erat dengan penduduk di kampung sekitar sekolah supaya dapat melahirkan rasa tanggungjawab bersama untuk memastikan SKeSS berjaya melahirkan murid cemerlang setiap tahun.
“Kuih wadai kipeng diperbuat daripada tepung pulut sebagai bahan utama yang akan dibentuk bulat menggunakan tangan dan ditekan pada bahagian tengah kemudian direbus sehingga masak seakan-akan kuih puteri mandi kerana cara penyediaan hampir sama,’ katanya.
Teksturnya yang kenyal selepas direbus akan dimasak sekali lagi dengan kuah santan yang rasanya lemak manis.
Katanya kuih wadai kipeng ini juga boleh dimasak dengan gula merah atau gula putih yang kedua-duanya mempunyai rasa enak tersendiri serta boleh dihidangkan sejuk atau panas.
Nor Mahali berkata, penyediaan bahan kuih wadai kipeng dikumpul secara bersama-sama antara guru, ibu bapa termasuk mereka dalam kalangan guru serta kakitangan yang sudah bersara apabila menunjukkan keprihatinan untuk turut serta menjayakan pembikinan juadah ini.
Tambahnya, masing-masing memberi sumbangan wang tunai dan bahan yang diperlukan untuk membuat kuih wadai kipeng yang kemudian dibuat secara bergotong-royong di halaman sekolah daripada peringkat penyediaan rencah hinggalah masak sebelum diagihkan kepada warga SKeSS, ibu bapa dan murid untuk dibawa pulang.-SAHIH.