Enam kali ular sawa masuk di garaj kereta rumah penduduk
Foto atas : Anggota BBP Raub berjaya menangkap ular sawa tersebut. -Foto BBP Raub
Enam kali ular sawa masuk di garaj kereta rumah penduduk
RAUB – Seorang penduduk Taman Melati di sini, Mazuen Mohd Taib, 42, mendakwa sudah enam kali ular sawa ditemui di garaj rumahnya dan kejadian semalam antara yang paling besar ditangkap oleh pihak bomba.
Katanya, dalam kejadian semalam reptilia itu ditemui ketika dia hendak mengemas garaj kereta rumahnya kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Rumah saya bersebelahan dengan longkang besar dan merupakan saluran air utama perumahan taman ini didakwa punca reptilia berkenaan mudah masuk ke rumah kami.
“Setiap hujung tahun ada ular ditemui di rumah saya. Faktor cuaca juga mungkin menjadi punca reptilia ini mencari tempat perlindungan,” katanya di Taman Melati di sini hari ini.
Menurut Mazuen, dalam kejadian tiga tahun lalu anak kucingnya yang dipelihara di dalam sangkar mati ditelan ular sawa.
Berikutan kejadian itu, kata Mazuen, dia tidak lagi meletakkan haiwan peliharaan di dalam sangkar.
Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 petang sebelum sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi dengan menaiki sebuah jentera.
“Sebaik tiba di tempat kejadian kita mendapati terdapat seekor ular sawa sepanjang empat meter dengan anggaran berat kira-kira 60 kilogram berlingkar di garaj rumah berkenaan.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia terbabit sebelum bertindak melepaskannya ke habitat asal, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.35 petang,” katanya.-SAHIH.