28 menara baharu sedang dibina dan 99 stesen pemancar naiktaraf ke 4G di Jerantut
Foto atas : Lawatan kerja SKMM di menara Kampung Berembang, Kuala Tahan , baru-baru ini.
28 menara baharu sedang dibina dan 99 stesen pemancar naiktaraf ke 4G di Jerantut
JERANTUT – Sebanyak 28 menara komunikasi baharu sedang dibina di Daerah Jerantut melalui pelaksanaan JENDELA Fasa Satu.
Empat menara telahpun siap dan beroperasi sepenuhnya sementara 24 lagi kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan bertujuan menambahbaik perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Daerah Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff berkata, empat menara tersebut telah mula beroperasi adalah di Kampung (Kg) Bukit Dinding, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, Kg Pasir Durian dan Kg Seri Muda.
Katanya, berdasarkan status semasa dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat banyak menara telah menunjukkan kemajuan yang baik seperti telah siap pemasangan struktur sebelum kerja-kerja pemasangan peralatan elektronik dan kerja awal dimulakan di tapak-tapak menara tersebut.
“Antara lokasi tersebut, Kg Beruit, Kg Jeransong, Kg Berembang, Kg Sg Malik, Kg Ulu Teh, Kg Brau, Kg Perlok 2, Kg Sokti, Km 5 Jln Jerantut – Damak, Kg Binjai, Kg Bejuang 2, Kg Jeneris, Kota Gelanggi 5 dan Gelanggi 6, Kg Semena Mat Daling dan juga Kg Pulau Mansuk.
“Baki menara lain sedang dalam proses perolehan tapak dan kelulusan yang berkaitan. Antaranya di Jeti Kampung Orang Asli (KOA) Sg Tekal, KOA Sg Kucing, dan KOA Batu 10 Sg Retang, “ katanya melalui hantaran Facebook.
Katanya, semua menara komunikasi ini dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2022 hingga pertengahan tahun 2023 nanti.
“Melalui usaha yang sama, sebanyak 99 stesen pemancar sediada juga telah berjaya dinaiktaraf ke rangkaian internet 4G dan siap sepenuhnya pertengahan 2022.
“Antaranya adalah Kg Sungai Berjuang, KLPP Sungai Rengai, Kg Paya Garok, Felda Kg Ulu Rentang, Kg Bukit Ketupat, Kg Lada, Kg Bau, Mahawangsa Timber, Kg Ibol Jaya, Kg Perak, Kg Jaya Putra, Kg Kor, Kg Padang Saujana, Lepar Utara 3, Sungai Lekuk, Sg Tekam Utara, Kg Baru dan Kg Sg Retang,” katanya.
Tambahnya, semua Inisiatif ini, kadar liputan 4G Daerah Jerantut (di kawasan berpenduduk) meningkatkan daripada 72.2% pada Suku Kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 86.28%, Suku Kedua 2022.
“Kadar ini dijangka terus meningkat apabila semua projek JENDELA ini siap sepenuhnya tidak lama lagi.
“Bilangan premis yang mempunyai rangkaian gentian optik di daerah ini telah berjaya ditingkatkan daripada 5,543 premis Suku Kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 12,203 premis Suku Kedua 2022 (pertengahan tahun ini),” katanya.
Katanya, usaha penambahbaikan ini telah membolehkan penduduk di Daerah Jerantut mempunyai pilihan untuk melanggan internet talian tetap dengan kelajuan tinggi.-SAHIH.