Dua wanita cubaan culik seorang kanak-kanak di Genting Highlands ditahan
Dua wanita cubaan culik seorang kanak-kanak di Genting Highlands ditahan
BENTONG- Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan dua orang wanita warganegara asing yang didakwa cuba melakukan penculikan terhadap seorang kanak-kanak di pusat peranginan Genting Highlands pada 19 September.
Dua wanita itu, masing-masing berusia 42 tahun dan 50 tahun ditahan oleh pihak polis pada jam 11.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, penahanan itu dilakukan setelah satu laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa yang merupakan warganegara tempatan berusia 33 tahun pada 20 September, kira-kira jam 1.20 tengahari.
“IPD Bentong membuka kertas siasatan berkaitan kes yang tularkan itu di media sosial bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di Genting Highlands, pada hari tersebut.
“Kertas siasatan dibuka berkaitan insiden tular sebuah video berdurasi 1 minit 20 saat melalui akaun Tik Tok milik ‘@alfitry_azmi52’ yang di muat naik melalui Facebook ‘Daily Traffic Report’ pada 19 September (Isnin) yang lalu,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan kesemua saksi dan kes disiasat di bawah seksyen 363/511 kanun keseksaan, cubaan culik.
“Sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda. Kertas siasatan terbabit akan dirujuk ke pihak timbalan pendakwa raya.
“Dinasihatkan orang ramai khususnya ibubapa atau penjaga agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing terutamanya di tempat yang sesak dengan orang ramai bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.-SAHIH.