Kakitangan RHB Bank santuni warga emas
Foto atas : Nik Rizal Kamil (tengah) bersama-sama kakitangan RHB Bank yang menyertai program di PJMM.
SEMENYIH – Lapan puluh kakitangan RHB Bank menyantuni penghuni dalam kalangan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Perbankan RHB Bank, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil berkata, selaras dengan tema RHB Touch Hearts 2022 ‘Making Progress Happen for Everyone’, inisiatif Touch Hearts 2022 Group Finance, program itu dinamakan “Let us Bring Happiness To the Old Folks Home” membabitkan kakitangan dari RHB Bank Centre, Cawangan Bangi, Selangor
Katanya, beliau melahirkan rasa bersyukur apabila dapat bersama-sama kakitangan RHB Bank untuk menyantuni warga emas di PJMM walaupun sibuk dengan tugas rutin harian namun mereka tidak pernah lupa kepada insan yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah.
“Walaupun sumbangan yang disalurkan itu tidak seberapa namun memberi motivasi kepada kakitangan RHB Bank untuk turut berasa bertanggungjawab memberi keselesaan kepada warga emas terutama yang uzur meneruskan kehidupan.
“Pastinya program sedemikian mengukuhkan lagi inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan,” katanya.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafid Mohiadin; dan beberapa pegawai RHB Bank yang terbabit.
Ketua Program, Noraini Malik, berkata program berkenaan bertujuan untuk menggembirakan warga emas dan meringankan bebanan tekanan perasaan mereka melalui pelbagai aktiviti, seperti gotong-royong, mendirikan taman mini, sesi karaoke bersama-sama warga emas serta melukis.
“Bersesuaian dengan program itu RHB Bank turut menyumbangkan 10 kipas pengudaraan, empat set meja batu, goodie beg, beberapa barangan keperluan asas untuk warga emas serta wang tunai.
“Sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan semua kakitangan RHB Bank yang berasa amat terharu apabila dapat menyantuni warga emas walaupun hanya seketika waktu sahaja yang sekurang kurangnya dapat menggembirakan hati mereka,” katanya.-SAHIH.