Belia China santuni murid PPKI SK Sungai Rokam
Belia China santuni murid PPKI SK Sungai Rokam
IPOH – Program Intergrasi dan Khidmat Sosial Belia Malaysia-China bersama Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelas Pendidikan Khas Sekolah kebangsaan Sungai Rokam (SKSR) meningkatkan jalinan persahabatan antara dua negara.
Program itu juga memupuk semangat prihatin belia negara tersebut terhadap keperluan sosial dan masyarakat di samping memperkenalkan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia .
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Rokan (SKSR), Yusri Mohamad Abdul berkata, beliau berbesar hati dengan Persatuan Persahabatan Malaysia – China (PPMC) yang sudi memilih sekolahnya untuk mengadakan program kemasyarakatan yang amat bermakna kepada warga sekolah tersebut.
Katanya, tujuan utama program seperti ini adalah untuk mengenali dengan lebih dekat berkaitan proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak istimewa seramai 73 orang serta melihat sendiri daya usaha 23 orang guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang berkhidmat di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah ini.
“Penganjuran program sebegini menjadikan SKSR dikenali oleh pihak luar di samping memberi peluang kepada murid PPKI menjalani program yang bermanfaat selain turut mempromosi tarikan pelancongan di negeri Perak,”katanya di program itu semalam.
Katanya, beliau juga berterima kasih kepada Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan Sekretariat Wanita Perak yang bersama di dalam program ini.
Wakil kumpulan Belia China yang turut serta, Jiang Chengao berkata, beliau dan peserta yang lain amat gembira dengan pelbagai program yang diadakan seperti demonstrasi permainan ‘Stacking Cup’ dan Petanque serta kelas masakan dan sesi ramah mesra bersama warga PPKI SK Sungai Rokam pada hari itu.
Sementara itu, Ketua penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP), Puan Eni Zanifah Mohd Jaberi berkata, JPNP menghargai jalinan serta jaringan yang berjaya dilaksanakan, khusus untuk program yang melibatkan anak-anak OKU di Sekolah Pendidikan Khas, khusus di sekolah itu.
“Pihak jabatan sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan lagi kecemerlangan tadbir urus dan kemenjadian murid di negeri Perak ini yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khususnya melalui pendidikan digital.
“PPMC mewakili China Construction Bank turut memberikan sumbangan berupa 2 unit penghawa dingin, 6 unit komputer dan bahan bacaan kepada sekolah dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang terpilih,”katanya.
Pegawai Pengiring PPMC, Ts. Abdul Aziz How Abdullah, menyatakan rasa terharu dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pelajar antarabangsa dari China yang hadir pada hari itu.-SAHIH.