SEGERA SIASAT KES ANGGOTA BOMBA DIPUKUL
Berita Nasional
SEGERA SIASAT KES ANGGOTA BOMBA DIPUKUL
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa siasatan segera dilakukan susulan kes kekasaran terhadap seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi tadi.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata anggota berkenaan ketika kejadian sedang bertugas memadamkan kebakaran akibat kemalangan, berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn.
Katanya, maklumat diterima turut menyatakan bahawa individu berkenaan berada dalam keadaan khayal, dan pemeriksaan ke atas kenderaan turut menjumpai senjata tajam berupa pisau pemotong daging.
“Secara peribadi, saya terkilan dan terguris apabila melihat rakaman video berkenaan, kerana anggota JBPM juga petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah.
“Pengorbanan mereka seharusnya diiktiraf masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zuraida berkata, anggota yang dipukul itu sudah membuat laporan polis susulan kejadian.
“Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang harus diambil tindakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat sepatutnya dalam apa-apa situasi menghormati tugas yang dijalankan anggota bomba, memandangkan sudah terbukti mereka memikul tanggungjawab berat, dalam menjaga keselamatan awam dan ketenteraman masyarakat,” katanya.
Sumber: BH Online